Petaling Jaya, 27 Oktober 2021 - Sekurang-kurangnya purata sembilan kes buang bayi dilaporkan berlaku dalam sebulan sama ada ditemukan hidup atau mati sejak 2018 hingga September lalu.
Berdasarkan statistik direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 424 kes buang bayi dicatatkan di seluruh negara untuk tempoh tersebut.
Malah, lebih menyedihkan, si pelaku jenayah itu kebanyakannya adalah ibu kandung bayi tersebut dan kenalan yang bersubahat.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ACP Puan Siti Kamsiah Hassan berkata, sebanyak 283 bayi yang dibuang ditemukan mati manakala 141 lagi dijumpai dalam keadaan hidup.
Katanya, untuk tempoh tersebut, kira-kira 285 bayi yang dibuang ketika baru dilahirkan manakala 139 lagi dalam bentuk janin.
"Berdasarkan siasatan pihak polis, kebanyakan lokasi bayi dibuang adalah di kawasan rumah iaitu 166 kes selain di masjid, tepi bangunan dan semak.
"Lebih menyedihkan, ada bayi yang ditemukan dalam tandas, longkang, tempat buang sampah malah ada di tanah perkuburan," katanya.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Utusan Malaysia seperti di lampiran.