Kuala Lumpur, 3 Februari 2022 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menggerakkan empat jabatannya untuk memerangi dan menggempur semua bentuk kegiatan perjudian, termasuk sindiket perjudian dalam talian atau judi online.
Ia membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) serta Cawangan Khas.
Ketika ini, tugas membanteras kegiatan perjudian adalah di bawah bidang kuasa Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) JSJ.
Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Razarudin Husain, berkata langkah ini adalah satu komitmen serius PDRM dalam membanteras semua bentuk elemen perjudian di negara ini, khususnya perjudian dalam talian.
Arahan sudah dikeluarkan dan saya sudah maklumkan kepada semua peringkat sama ada di Bukit Aman, peringkat kontinjen negeri, daerah dan balai polis supaya semua elemen di lapangan seperti JPJKK yang sentiasa berhubung rapat dengan masyarakat setempat, mengumpulkan maklumat mengenai kewujudan sebarang aktiviti perjudian untuk tindakan lanjut.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Berita Harian seperti di lampiran.