Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Keratan Akhbar

KERATAN AKHBAR PILIHAN: JENAYAH SIBER MENINGKAT KEPADA 20,000 PADA 2021 - MDN

Kuala Lumpur, 29 Mac 2022 - Keselamatan siber kekal sebagai antara isu yang menjadi perhatian utama Malaysia susulan peningkatan mendadak kes yang dilaporkan di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, jumlah kes yang direkodkan berkaitan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, memancing data dan penipuan e-mel meningkat hampir sekali ganda.
Beliau berkata, pada 2019, kira-kira 13,000 kes jenayah siber dilaporkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM539 juta dan bilangan itu telah meningkat kepada 17,000 kes dalam tahun 2020.
Tahun lalu, bilangan kes meningkat kepada lebih 20,000 dengan jumlah kerugian RM560 juta manakala setakat Februari 2022, bilangan kes yang dilaporkan ialah 3,273 dan kerugian yang terlibat berjumlah RM114 juta.
"Banyak ancaman semasa dan baharu muncul membabitkan teknologi baharu yang tidak pernah didengar dalam tempoh sedekad lepas. Pada masa sama, landskap keselamatan negara ketika ini berubah lebih pantas berbanding sebelum ini.
"Oleh itu, mengikuti perubahan ini adalah antara cabaran terbesar pertahanan dan keselamatan negara di rantau kita," katanya ketika berucap pada perasmian Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, kelmarin.
Selain mempamerkan teknologi dan perkhidmatan terkini, Dato’ Seri Hamzah berkata, DSA adalah platform penting untuk menggalakkan pembinaan kapasiti dan mewujudkan perkongsian asing yang saling menguntungkan, selaras dengan objektif untuk mengukuhkan pertahanan dan keselamatan serantau.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Harian Metro seperti di lampiran.

May be an image of 7 people and people standing
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS