Kuala Lumpur, 29 Mac 2022 – Tiga batalion baharu Pasukan Gerakan Am (PGA) akan diwujudkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan usaha kawalan keselamatan sempadan negara, terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato’ Sri Hazani Ghazali berkata, penubuhan tiga batalion baharu itu antara perancangan dan cadangan yang sudah diaturgerakkan PDRM, namun tidak membabitkan pengambilan baharu untuk memenuhi perjawatan.
“Tiga batalion PGA baharu akan diwujudkan dengan dua di Sabah iaitu Batalion 21 PGA Keningau dan Batalion 22 PGA Kunak serta satu lagi batalion di Sarawak iaitu Batalion 23 PGA Sri Aman. Keseluruhannya membabitkan kira-kira 1,800 pegawai dan anggota.
PDRM akan menyerap anggota sedia ada daripada unit atau jabatan yang ada lebihan anggota. Usaha mewujudkan batalion baharu ini bagi memastikan kawalan sempadan Malaysia, terutama di Sabah dan Sarawak dapat dipertingkatkan, sekali gus menghalang jenayah rentas sempadan,” katanya kepada Berita Harian.
Perancangan lain Jabatan KDNKA katanya, ialah cadangan membina pos kawalan baharu PGA oleh briged sedia ada dengan mengambil kira lokasi “hot spot”, selain bertujuan meningkat dan memantapkan lagi kawalan keselamatan sempadan negara.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Berita Harian seperti di lampiran.