Alor Setar, 21 April 2022 - Polis Kedah melancarkan Op Kesan bagi mengesan baki 171 pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap di Relau, dekat Bandar Baharu kira-kira 4.30 pagi semalam.
Ketua Polis Kedah, CP Wan Hassan Wan Ahmad berkata, 171 pelarian itu terdiri daripada 131 lelaki dewasa, 28 wanita dewasa dan 12 kanak-kanak lelaki.
Beliau berkata, selain polis Kedah, operasi mencari berkenaan turut membabitkan polis Pulau Pinang dan Perak selain Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Anjing Pengesan PDRM (K9).
"Kita juga melaksanakan Op Tutup di mana empat sekatan jalan raya (SJR) dibuat di Seberang Perai Selatan, empat di Bandar Baharu dan lima di Kulim," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, semalam.
Daripada 528 yang melarikan diri dari depot yang menempatkan 664 orang tahanan itu, seramai 357 sudah ditemui termasuk enam yang maut akibat dilanggar kenderaan semasa melintasi Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan menghala selatan iaitu berhampiran kawasan Jawi.
Di samping itu, Wan Hassan juga berkata, polis Kedah juga menubuhkan sebuah pasukan khas yang dianggotai 13 pegawai dan anggota bagi menjalankan siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.