Shah Alam, 1 Mei 2022 - Lagak berbahaya sekumpulan samseng jalanan ketika dalam perjalanan untuk berbuka puasa terbantut selepas dicekup polis di Lebuh Raya Kota Bharu-Ketereh di Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, DCP Dato' Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi sepasukan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman kira-kira jam 6.35 petang itu bertindak menahan sembilan penunggang motosikal terbabit.
Menurutnya, kumpulan terbabit dikesan melakukan aksi "superman", menundukkan badan, "zig-zag" dan bersaing sesama sendiri.
"Kesemua penunggang itu dipercayai dalam perjalanan dari Machang ke Kota Bharu untuk berbuka puasa," katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata, kesemua motosikal jenis Yamaha Y15ZR, Honda EX5 dan Honda C70 berkenaan telah disita manakala penunggang berusia 16 hingga 26 tahun terbabit kini direman tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.