Kota Kinabalu, 20 Mei 2022 - Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua bot bersama 11 nelayan warga Vietnam kerana menceroboh perairan negara di kawasan utara laut Pulau Langkayan, Sandakan, semalam.
Mereka ditahan bersama peralatan menangkap gamat dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2.8 juta.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, ACP Ahmad Ariffin berkata, bertindak atas maklumat risikan awam dan tindakan pantas Unit Risikan Marin PPM Sandakan merangka pengoperasian membanteras pencerobohan bot-bot asing di kawasan berkenaan.
"Kita menahan 11 individu terdiri daripada juragan dan awak-awak warga Vietnam berusia lingkungan 10 hingga 49 tahun.
"Pemeriksaan awal didapati semua suspek tidak mempunyai keterangan diri serta tiada kebenaran atau permit bagi menjalankan aktiviti menangkap hidupan laut di perairan negara secara sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sumber: Pasukan Polis Marin W4 Sabah dan Berita Harian