Kuala Lumpur, 23 Mei 2022 - Helah sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang, di sini menggunakan pintu rahsia di belakang premis sebagai laluan masuk pelanggan selepas tempoh waktu operasi dibenarkan, terbongkar apabila dikesan pihak berkuasa.
Serbuan di premis berkenaan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman pada jam 12.40 tengah malam kelmarin.
Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, SAC Mohamad Noor Yusof Ali berkata, 19 individu ditahan dalam serbuan itu, termasuk 13 wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO).
"Dalam serbuan itu, kami menahan 13 GRO membabitkan 12 wanita dari negara jiran dan seorang wanita dari Eropah Timur yang berusia antara 22 hingga 38 tahun.
"Selain itu, kami turut menahan enam individu tempatan membabitkan pemilik premis, pengurus, penjaga kaunter serta pekerja di pusat hiburan berkenaan berusia antara 27 hingga 53 tahun.
"Kami turut melakukan pemeriksaan terhadap 34 pekerja serta 89 pelanggan yang berada di dalam premis berkenaan ketika serbuan dengan dua daripada pelanggan yang diperiksa didapati positif dadah jenis Methaphetamin.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) akta sama serta Seksyen 3 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992," katanya.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Berita Harian seperti di lampiran.