Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Keratan Akhbar

[KERATAN AKHBAR PILIHAN] DIPAKSA JADI "SCAMMER": 115 RAKYAT MALAYSIA MASIH TERKANDAS – PENGARAH JSJ

Petaling Jaya, 30 Mei 2022 - Terdapat rakyat Malaysia yang didakwa dijadikan mangsa sindiket antarabangsa penipuan “online” dipercayai enggan pulang ke tanah air. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), CP Dato’ Sri Abd. Jalil Hassan berkata, hal ini berlaku disebabkan mangsa-mangsa tersebut telah mendapat komisyen hasil penipuan yang dilakukan. “Difahamkan hasil keterangan daripada mangsa yang dibawa pulang ke sini, terdapat lagi mangsa di sana namun tidak mahu pulang kerana mereka mendapat keuntungan hasil ‘kerja’ dilakukan.

“Sehingga kini, seramai 115 orang yang terdiri daripada 100 lelaki dan 15 wanita berusia antara 17 hingga 41 tahun yang masih berada di negara-negara tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Dalam pada itu, menurut Dato’ Sri Abd. Jalil, setakat ini, sebanyak 110 laporan polis diterima pihaknya melibatkan rakyat Malaysia yang dieksploitasi menjadi buruh paksa di beberapa negara Asia Tenggara.

Ujar beliau, kesemua mereka dikesan masih berada di Laos, Myanmar dan Kemboja.
“Siasatan kita mendapati mereka dipaksa bekerja sebagai “scammer” untuk penipuan “Love Scam”. “Malah, ketika tiba di sana, mereka turut diberikan kursus dan latihan selama seminggu cara-cara untuk memperdaya mangsa,” ujarnya.

Bagaimanapun, Dato’ Sri Abd. Jalil berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut dan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara-negara berkaitan bagi membawa balik rakyat yang terperangkap di sana. Katanya, siasatan lanjut mendapati mereka telah berada di negara itu sejak enam bulan lalu. “Usaha mengesan dan membawa pulang sedang dijalankan malah sebelum ini kita telah berjaya membawa pulang rakyat Malaysia yang dijadikan mangsa sindiket antarabangsa,” ujar beliau.

Bacaan lanjut seperti dalam akhbar terbitan Utusan Malaysia.
 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS