Shah Alam, 7 Jun 2022 - Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) mendedahkan terdapat enam punca berlakunya kebocoran maklumat atau data peribadi rakyat di negara ini kepada pihak ketiga.
Ketua Pengarahnya, Mazmalek Mohamad berkata, kebocoran maklumat boleh berlaku tidak kira di mana sahaja sama ada dalam atau di luar organisasi secara sengaja atau tidak disengajakan.
Menurut beliau, antara punca kebocoran maklumat dalam organisasi adalah disebabkan daripada sikap individu yang mempunyai kepentingan tertentu dan bersekongkol dengan jenayah profesional.
Jelasnya, kebocoran juga boleh berlaku secara tidak sengaja disebabkan kurang pengetahuan atau kesedaran mengenai kepentingan melindungi data dan impak sekiranya data diakses oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Selain itu, kebocoran data juga berlaku berpunca daripada kegagalan sesebuah organisasi menyediakan standard pengurusan data.
"Sekiranya sebuah organisasi itu gagal mengambil langkah-langkah kawalan keselamatan dalam memastikan keselamatan data terjamin, ia menyebabkan data boleh diakses oleh pihak ketiga dengan sewenang-wenangnya," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Bacaan lanjut seperti dalam akhbar terbitan Sinar Harian.