Petaling Jaya, 18 Jun 2022 - Kira-kira 41,986 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2018 sehingga Mei lalu kerana terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian melibatkan kerugian mangsa berjumlah RM2.3 billion.
Daripada jumlah itu, sebanyak 24,249 pertuduhan telah diperolehi berkaitan kes-kes berkenaan.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato' Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, kesemua mereka diambil tindakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kata beliau, tindakan juga diambil mengikut Kanun Keseksaan selain tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 terhadap dalang utama sindiket-sindiket ini.
"Tindakan pembanterasan terhadap sindiket penipuan sentiasa dilaksanakan secara berterusan.
"Tidak kira sama ada sindiket tersebut berpusat di mana-mana negeri sekalipun, pengumpulan maklumat risikan dan serbuan sentiasa dilakukan bagi menumpaskan kegiatan sindiket ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Utusan Malaysia semalam berkaitan kegiatan sindiket penipuan dalam talian dianggotai rakyat tempatan dikesan menjadikan kawasan sekitar Mount Austin di Johor Bahru sebagai 'rumah perlindungan' atau "safe house" bagi mereka mencari mangsa-mangsa untuk ditipu.
Bacaan lanjut seperti dalam akhbar terbitan Utusan Malaysia.