Sandakan, 17 Julai 2022 - Akibat kecewa pertunangan diputuskan, seorang lelaki bertindak merempuh kenderaan bekas tunangnya dalam kejadian di Bandar Indah, Batu Empat di sini, kelmarin.
Rakaman video kejadian membabitkan sebuah Perodua Viva merempuh Perodua Myvi turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya mengesan rakaman video di media sosial berdurasi 30 saat menunjukkan sebuah kenderaan dengan sengaja dipandu melanggar sebuah kenderaan lain.
Menurutnya, mangsa wanita berusia 20-an yang juga pemilik Perodua Myvi kemudian tampil membuat laporan kejadian di
Balai Polis Sandakan pada hari yang sama.
"Hasil siasatan awal polis mendapati kejadian terbabit berlaku di Bandar Indah kira-kira jam 2.00 petang kelmarin.
"Suspek lelaki yang juga bekas tunang mangsa berusia 20-an pada masa kejadian memandu Perodua Viva didapati dengan sengaja melanggar kenderaan mangsa yang diparkir di tempat letak kenderaan.
"Pada masa kejadian, mangsa tidak berada dalam kenderaannya," katanya, semalam.
Menurutnya, bertindak atas laporan, polis menahan suspek pada jam 11.15 malam hari yang sama untuk membantu siasatan.
"Motif kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa berikutan pertunangan mereka diputuskan. Suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.