Kudat, 3 Ogos 2022 - Balai Polis Karakit di Pulau Banggi, Kudat, dalam kawasan utara Sabah wajar dinaik taraf bagi memberikan keselesaan kepada anggota bertugas selain meningkatkan keselamatan di pulau berkenaan serta perairan sekitar, kata Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani.
Beliau berkata, ketika ini 38 anggota yang diketuai seorang pegawai
berpangkat ASP bertugas di Balai Polis Karakit yang sudah usang dan sempit untuk operasi harian.
Katanya pulau itu mempunyai potensi yang besar untuk membangun, justeru dilihat ada keperluan untuk menaik taraf balai polis berkenaan.
"Kuarters anggota yang disediakan hanya ada 12 sahaja dan ia sememangnya tidak mencukupi, kita juga sedia maklum bahawa rumah sewa di sini agak terhad, kebanyakan rumah dihuni oleh pemilik sendiri.
"Hari ini saya datang ke sini untuk mengadakan program bersama komuniti, sekali gus untuk melengkapkan kertas kerja bagi memohon kepada kerajaan untuk menaik taraf balai polis di sini," katanya kepada pemberita selepas program 'Outreach Community Policing' di Pulau Banggi. Turut hadir ialah Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Dato' Idris Abdullah.
Jangan lupa layari Media Sosial Rasmi PDRM dan klik ‘Like’ untuk mendapatkan pelbagai informasi terkini daripada kami di: