Kuala Lumpur, 11 Ogos 2022 - Seorang penganggur didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi berbaur ancaman melalui aplikasi Twitter dengan mengajak satu perhimpunan ketika tempoh pandemik COVID-19, tahun lepas.
Hakim Nor Hasniah Ab Razak yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Nur Taufiq Azhar, 27 tahun, selaku orang kena
saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut, turut memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Lelaki itu membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Nur Taufiq didakwa membuat dan memulakan penghantaran “sabtu riot?! TURUN!” yang mengancam sifatnya dengan niat untuk mengganggu orang lain melalui akaun Twitter “Tulangkata @ tul4ng” pada 4.44 petang, 13 Julai tahun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.