Kuala Lumpur, 16 September 2022 - Pengalaman hampir menjadi mangsa penipuan dalam talian mendorong selebriti tempatan menerima tawaran menjadi duta "antiscam" yang berperanan sebagai jurucakap kempen pencegahan bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Lebih membuktikan kesungguhan mereka, selebriti terpilih menawarkan khidmat sebagai jurucakap kempen "antiscam" secara percuma dengan komitmen menggunakan pengaruh masing-masing bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kes penipuan dalam talian.
Salah seorang bintang, Dato' Ahmad Azhar Othman atau Dato' Awie mengambil inisiatif dengan melakukan siri jelajah "antiscam" di lokasi terpilih.
Dato' Awie berkata, kesedaran untuk berkongsi maklumat mengenai kes penipuan dalam talian timbul ketika Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Satu dilaksanakan apabila dirinya hampir menjadi mangsa "scammer".
"Saya ambil inisiatif ini bersama rakan motosikal berkuasa besar yang pernah menjadi mangsa penipuan," katanya yang merancang menjelajah Sabah dan Sarawak atas tujuan sama.