Petaling Jaya, 29 Oktober 2022 - Pelanggaran lampu isyarat merah bukan isu baharu dilakukan pengguna jalan raya di negara ini.
Lebih membimbangkan, pelanggaran lampu isyarat ini bukan sahaja dilakukan penunggang motosikal bahkan pemandu kenderaan lain seperti kereta, van, malah turut dilakukan oleh segelintir pemandu lori.
Pelbagai operasi dan penguatkuasaan dijalankan pihak berkuasa melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengatasi masalah ini.
Namun ia seolah-olah tidak memberikan kesan kepada pengguna jalan raya yang didapati terus melakukan kesalahan berkenaan.
Ketua
Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pelbagai alasan diberikan pemandu yang melanggar lampu isyarat; antaranya lewat, mengejar masa dan terpaksa menunggu lama disifatkan sebagai tidak relevan.
“Memang banyak alasan diberikan yang mana melibatkan masa tetapi bagi saya tidak sesuai kerana kepatuhan terhadap lampu isyarat ini penting bukan sahaja ia undang-undang jalan raya tapi melibatkan nyawa.
“Perbuatan melanggar lampu isyarat ini seolah-olah menggadaikan nyawa bukan sahaja pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan itu tetapi melibatkan pengguna jalan raya yang lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Jangan lupa layari Media Sosial Rasmi PDRM dan klik ‘Like’ untuk mendapatkan pelbagai informasi terkini daripada kami di: