Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Keratan Akhbar

KERATAN AKHBAR PILIHAN: BUDAK EMPAT TAHUN MAUT DISYAKI DIDERA

Johor Bahru, 28 Disember 2022 - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia kelmarin selepas dipercayai menjadi mangsa dera di Senggarang, Batu Pahat.

Ketua Polis Johor, CP Dato’ Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang memaklumkan mangsa pengsan di rumahnya dan dibawa ke klinik untuk rawatan pada jam 6.45 petang, Jumaat lalu.

“Bertindak atas maklumat, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat menahan lima warga tempatan, dua lelaki dan tiga wanita berusia 15 hingga 37 tahun antara jam 12 tengah hari hingga 9.45 malam Sabtu.

“Kita percaya mereka terbabit mendera mangsa sehingga mati. Hasil siasatan awal, mangsa dijaga kakak kandungnya selepas ibu bapa mereka masuk penjara akibat kesalahan dadah. Namun kemudian mangsa diserahkan kepada rakan kakaknya untuk dijaga,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.

Polis turut merampas barang yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa antaranya pengecas telefon bimbit, sarung bantal, cadar, batang besi berukuran 29 inci, penyangkut baju, jaring penutup kipas dan batang besi penongkat motosikal.

Dato’ Kamarul Zaman berkata, mangsa yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini sejak Jumaat lalu disahkan meninggal dunia petang kelmarin.

“Pada awalnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(I)(a) Akta Kanak-kanak 2001, namun pihak polis mengklasifikasikan semula kes ini akibat kematian mangsa iaitu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Bacaan lanjut menerusi keratan akhbar terbitan Berita Harian.

 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS