Kuala Lumpur, 1 Januari 2023 - Sengaja undang nahas apabila semakin ramai individu dikesan mengubah suai kediaman menjadi 'mini zoo' haram dengan mengumpul pelbagai spesies hidupan liar dilindungi secara tidak sah.
Rata-rata pemilik yang menjadikan alasan hobi membela haiwan liar didapati memasang kandang khas di sekitar rumah untuk menempatkan pelbagai haiwan liar ini.
Ketua Pengarah
Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Dato' Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan itu dibongkar susulan operasi khas Op Bersepadu Khazanah (OBK) dilakukan pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia di beberapa kediaman dikenal pasti.
Terbaharu, pihaknya menyerbu sebuah kediaman di Balik Pulau, Pulau Pinang pada Khamis lalu sebelum menahan pemilik rumah berusia 60-an.
"Pemeriksaan lanjut dilakukan menemui seekor burung murai batu, dua ekor burung dendang selayang, seekor burung punai daun, seekor burung merbah luris leher, seekor burung kelicap kunyit, dua ekor burung helang siput dan seekor burung tiong mas.
"Turut dirampas tiga ekor kura-kura giant pond, seekor kura-kura black marsh turtle, dua ekor kura-kura katup, seekor kura-kura red-eared slider dan empat ekor landak nibong," katanya,
Beliau berkata, semua spesies hidupan liar yang disimpan tanpa lesen itu dibawa ke Pejabat PERHILITAN Daerah Seberang Perai, Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.