Kota
Kinabalu, 18 Februari 2023 - Kerana kasih, seorang penuntut wanita sebuah universiti di sini, sanggup memberi wang hampir RM50,000 kepada kekasihnya untuk membeli "skin hero" bagi permainan Mobile Legend.
Malangnya, gadis berusia 19 tahun itu tidak sedar diperdaya lelaki terbabit hingga terjerat dalam sindiket "Love Scam".
Kejadian bermula pada 5 Februari lalu selepas berkenalan dengan lelaki itu menerusi aplikasi Telegram sebelum hubungan mereka menjadi rapat dan meneruskan interaksi di WhatsApp.
Lelaki itu kemudian meminta wang daripada penuntut itu untuk membantu membeli Skin Hero Mobile Legend dan mangsa memasukkan wang ke lima akaun berbeza yang diberikan lelaki itu.
Penuntut itu menyedari dirinya ditipu selepas lelaki itu tidak memulangkan wang yang dipinjam dan masih meminta wang tambahan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi berkata, mangsa membuat laporan polis kelmarin dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Orang ramai diingatkan agar berhati-hati dengan penipuan "scammer" dan tidak mudah percaya dengan pujuk rayu individu yang tidak dikenali.