Pasir Mas, 20 Februari 2023 - Seramai 97 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan anggota Pasukan Gerakan Am ketika mereka menyorok di dalam semak berdekatan sawah padi di Kampung Sapi, Jeram Perdah, Kelantan di sini, Jumaat lalu.
Ketua
Polis Kelantan, CP Dato’ Muhamad Zaki Hj. Harun berkata, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, anggota membuat
intipan sebelum mengenal pasti seorang lelaki berjalan kaki membawa bungkusan makanan ke kawasan semak itu.
Katanya, suspek yang juga warga Thailand itu kemudian dilihat menyerahkan makanan terbabit kepada sekumpulan lelaki dan perempuan dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil serbuan mendapati terdapat 78 lelaki dan 19 wanita warga Myanmar yang sedang menyorok dipercayai masuk ke dalam negara secara haram melalui jalan sungai sempadan Malaysia-Thailand.
“Semua PATI berusia 16 dan 58 ini tiada dokumen pengenalan diri yang sah untuk memasuki Malaysia.
"Anggota menahan semua PATI dan tekong untuk dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta SOSMA.