Sabak Bernam, 13 April 2023 - Cuti kira-kira 117,000 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara dibekukan sebagai persiapan bagi penugasan musim perayaan Aidilfitri minggu depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Saifuddin Nasution Ismail berkata, hanya 10 peratus daripada 130,000 jumlah keanggotaan perkhidmatan awam itu dibenarkan bercuti dan pulang berhari
raya.
Menurutnya, meskipun dalam musim perayaan, namun penugasan PDRM amat penting dan tidak sesekali berkrompromi dari segi tanggungjawab menjaga keselamatan dan mengekalkan keharmonian serta keamanan negara.
"Kita akan berikan cuti selepas perayaan secara bergilir-gilir kerana itu adalah kaedah untuk menentukan bahawa aspek keselamatan negara tidak terjejas walaupun pada musim perayaan," katanya.