Georgetown, 4 Julai 2023 - Polis Diraja Malaysia akan mengambil tindakan tegas terhadap parti politik yang menyentuh isu 3R iaitu bangsa, agama serta institusi diraja sepanjang perjalanan pilihan raya negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu .
Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain berkata oleh itu, parti politik yang
bertanding diingatkan supaya tidak memainkan isu sensitif sepanjang tempoh berkempen khususnya berkaitan 3R.
Beliau berkata ini bagi mengelakkan wujudnya kegusaran dan mencetuskan rasa tidak harmoni dalam kalangan rakyat sepanjang proses PRN itu nanti.
"Kita nampak apabila isu 3R dimainkan maka akan berlaku perpecahan dan mewujudkan keadaan tidak harmoni dalam kalangan masyarakat, lagipun saya percaya semua yang bertanding merupakan orang-orang lama (dalam politik).
"Jadi kita mahu PRN kali ini berlangsung dalam keadaan sangat aman dan tidak berlaku ketidakharmonian dalam perjalanan PRN, pengundi juga boleh keluar mengundi dan memilih calon mereka (dengan selamat)," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Tan Sri Razarudin berkata demikian selepas meninjau persiapan bagi menghadapi PRN oleh Kontinjen
Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri yang turut dihadiri Ketua Polis Pulau Pinang, CP Dato' Khaw Kok Chin.