Segamat, 27 Ogos 2023 - Suasana meriah dengan kibaran Jalur Gemilang mula menghiasi bangunan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di sini, sempena sambutan Hari Kebangsaan tidak lama lagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, menjelang detik 31 Ogos ini juga, semua Unit Peronda Kereta (MPV) dan Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) di seluruh Segamat
akan melakukan gimik dengan membunyikan siren.
“Siren yang dibunyikan serentak selama satu minit itu adalah sebagai simbolik kepada Hari Kebangsaan. Selain itu, kami juga menghiasi pekarangan IPD dengan Jalur Gemilang.
“Sejak awal Ogos lalu, kemeriahan sempena Bulan Kemerdekaan sudah dimulakan dan kita mahu memupuk semangat patriotik dalam kalangan pegawai, anggota dan orang awam," katanya di sini baru-baru ini.
Superintendan Ahmad Zamry berkata, beliau bersama 25 pegawai serta 230 anggota di balai tersebut turut turun padang membuat persiapan untuk memeriahkan kibaran Jalur Gemilang yang akan berterusan sehingga pertengahan September ini.
Tambahnya lagi, pelbagai program turut diadakan sepanjang Bulan Kemerdekaan termasuk ceramah-ceramah patriotik di masjid, surau dan sekolah daerah ini.
“Kaedah itu ternyata menarik perhatian khususnya pelajar sekolah yang banyak bertanya mengenai pengorbanan anggota polis," katanya.