Petaling Jaya, 28 Ogos 2023 - Seramai 5,190 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenakan tindakan tatatertib sejak 2020 hingga Jun tahun ini.
Jumlah itu melibatkan seramai 1,540 orang untuk tahun 2020; 1,571 orang (2021), 1,466 orang (2022) dan 613 orang pada enam bulan pertama tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain berkata, daripada jumlah terbabit, seramai 3,032 pegawai dan anggota diberi amaran manakala 962 orang lagi dikenakan denda.
Katanya, turut diambil tindakan membabitkan seramai 496 pegawai dan anggota yang dilucut hak emolumen atau elaun-elaun tertentu.
Seramai 132 anggota dan pegawai ditangguh pergerakan gaji manakala 49 orang diturun gaji dan 72 lagi diturunkan pangkat. Dalam tempoh sama, seramai 447 pegawai dan anggota dibuang kerja terutama mereka yang dibuktikan bersalah dalam kes pendakwaan di mahkamah.
“PDRM melalui
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) komited mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang dikesan terlibat dengan pelanggaran salah laku integriti,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Ikuti wawancara bersama KPN, IG Tan Sri Razarudin Husain berkenaan tindakan yang diambil oleh PDRM bagi menangani isu integriti warganya menerusi keratan akhbar terbitan
Utusan Online seperti di lampiran.