Putrajaya, 30 Ogos 2023 - Sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya esok bakal menyaksikan rakyat Malaysia digegarkan dengan persembahan 400 buah gendang bersama tarian daripada 800 orang artis tari daripada pelbagai kaum.
Dijangkakan sambutan tersebut akan dibanjiri 100,000 rakyat Malaysia untuk bersama-sama meraikan hari bersejarah negara itu.
Sambutan yang bertemakan "Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan" itu akan diserikan dengan perbarisan yang disertai lebih 17,000 peserta dan 67 kontinjen daripada pelbagai kementerian serta agensi-agensi kerajaan.
Malah, rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan secara dekat pertunjukan payung terjun daripada enam anggota 69 Komando (VAT 69) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan mendarat tepat di Dataran Putrajaya.
Aksi pertunjukan yang mendebarkan itu akan menyaksikan anggota VAT 69 melakukan penerjunan pada aras ketinggian 4,000 kaki (1,219 meter) dari pesawat Agusta AW139 milik Pasukan Gerakan Udara PDRM yang diterbangkan oleh Superintenden Mohd Fairuz Jamil serta dibantu ASP Muhammad Amir Isa.
Anggota VAT69 yang terlibat dalam penerjunan tersebut akan turut mengibarkan Jalur Gemilang bersama-sama bendera Sang Saka Biru, VAT 69 dan logo Malaysia MADANI.