Cyberjaya, 27 September 2023 - “Jangan keluarkan fatwa baharu. Dalam apa keadaan sekali pun, kita tidak boleh makan rasuah,” kata Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Menurutnya, apa sahaja terma yang ditakrifkan sama ada sedekah atau derma, namun jika terkait amalan rasuah ia tetap haram.
“Tak payahlah kita nak bagi fatwa lain. Ini derma ini sedekah, tiada derma tiada sedekah dan haram tetap haram,” katanya ketika berucap pada Seminar Keselamatan Sempadan Negara 2023 di sini, semalam.
Katanya, beliau tidak akan bertolak ansur dalam soal integriti dan mana-mana individu yang terbabit dalam amalan rasuah akan ditangkap, dituduh di mahkamah dan dikenakan tindakan tatatertib.
Dato’ Sri Ayob berkata, isu integriti perlu diberikan keutamaan paling tinggi oleh setiap penjawat awam barulah isu-isu lain berkait rasuah dan salah guna kuasa dapat diatasi.
Menurutnya, setiap penjawat awam juga perlu tegas, berani dan konsisten dalam setiap tugasan serta tanggungjawab yang diamanahkan.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Kosmo seperti di lampiran.