Georgetown, 3 November 2023 -
Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu menahan enam suspek lelaki termasuk dua warga Thailand dalam operasi di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah, kelmarin kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak diesel subsidi ke Thailand.
Dalam operasi pukul 7.30 pagi itu, polis turut merampas empat lori tangki dan minyak diesel keseluruhannya bernilai
kira-kira RM1.2 juta yang dipercayai cuba diseludup ke negara itu.
Timbalan Komander PPM Wilayah Satu, Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, polis menjalankan serbuan ke premis perniagaan di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam yang dipercayai menjadi tempat penyeludupan minyak diesel ke Thailand.
“Ketika serbuan empat suspek lelaki tempatan serta dua suspek lelaki Thailand berusia 23 hingga 60 tahun berada di dalam premis berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di markas PPM Wilayah 1, di sini, semalam.
Menurutnya, dalam operasi itu polis merampas 131,040 liter minyak diesel berjumlah RM543.816 selain menyita empat lori tangki, pam minyak, hos paip dan nozel hos pam yang keseluruhannya berjumlah RM1.2 juta.