Melaka, 31 Januari 2024 - Sindiket pengedaran dadah termasuk Ketamin dan pil Ekstasi tumpas selepas polis menyerbu sebuah kediaman di Taman Saga Malim, dekat sini, hujung minggu lalu.
Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah pada jam 8.15 malam hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan.
Timbalan Ketua Polis negeri, SAC Md Nazri Zawawi berkata, keseluruhan rampasan dadah dan harta disita dianggarkan bernilai RM689.516.
Beliau berkata, polis turut menahan seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand berusia 25 hingga 27 tahun dalam rumah berkenaan yang disyaki dijadikan tempat membungkus dadah untuk pasaran di negeri ini.
Katanya, ketika ditahan ketiga-tiga suspek sedang leka membungkus dadah dan hasil pemeriksaan polis merampas pelbagai jenis dadah dalam bentuk cecair, serbuk dan pil dianggarkan bernilai RM650,369 berserta sepucuk pistol.
SAC Md Nazri berkata, ketiga-tiga suspek kini direman tujuh hari bermula kelmarin hingga 4 Februari depan bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Berita Harian seperti di lampiran.