Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Keratan Akhbar

KERATAN AKHBAR PILIHAN: RAMAI PINJAM AH LONG - PENGARAH JSJK

Petaling Jaya, 10 Februari 2024 - Pinjaman wang menerusi institusi kewangan tidak berlesen atau ah long meningkat sejak 2021 sehingga 31 Januari lalu membabitkan jumlah hutang sebanyak RM17,083,405.25.
Jumlah berkenaan direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) babitkan lebih RM17 juta selepas 3,271 aduan diterima Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mengenai ancaman sindiket ah long selepas mangsa-mangsa gagal melangsaikan hutang mereka.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah JSJK, CP Dato' Sri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak RM4 juta pinjaman direkodkan pada 2021 dan meningkat kepada RM6.9 juta pada tahun berikutnya.
Kata beliau, jumlah pinjaman berkenaan bagaimanapun menurun semula pada 2023 apabila sebanyak RM5.92 juta hutang ah long direkodkan pada tahun lalu.
“Bagi awal tahun ini sehingga 31 Januari lalu, sebanyak RM201,050 pinjaman ah long telah dikenal pasti.
“Aduan tertinggi dilaporkan adalah pada tahun lalu dengan 1,185 kes diikuti 2022 (1,009 kes) ; 2021 (1,000 kes) dan awal tahun ini sehingga 31 Januari lalu (77 kes) ancaman ah long direkodkan,” katanya di sini semalam.
Mengulas lebih lanjut, kata beliau, aktiviti meminjam wang daripada ah long atau ceti haram terus menjadi pilihan individu yang mengalami masalah kewangan dan desakan hidup.
Ini kerana bagi peminjam, melakukan pinjaman daripada ah long ini lebih mudah meskipun tindakan itu akan mengundang padah.
“Jangan sesekali meminjam dan terperangkap dengan ah long. Itu peraturan yang paling utama dan pertama agar kita tidak menjadi mangsa ancaman lintah darat ini.
“Sekali pun kita terdesak, sama ada keperluan untuk meminjam untuk kegunaan peribadi atau perniagaan, ada salurannya untuk berbuat demikian. Peniaga kecil boleh mendapatkan pinjaman atau bantuan daripada agensi yang dilantik kerajaan. Jika peribadi pula, ada juga kaedah lain,” jelasnya.
Bacaan lanjut seperti dalam akhbar terbitan Utusan Malaysia.
 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS