Kuala Lumpur, 28 Mei 2024 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta melipatgandakan program survelan dan pemantauan ke atas apa-apa maklumat atau komunikasi secara dalam talian berkaitan bagi membanteras sebarang ancaman aktiviti keganasan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad
Zahid Hamidi berkata, ia kerana
PDRM melalui Unit Pencegahan Keganasan, Cawangan Khas mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.
Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara berkata, usaha juga wajar digemblengkan bersama Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan Polis Asean (ASEANAPOL) bagi memastikan ia dapat diatasi secara menyeluruh.
Beliau berkata, Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) akan digunakan sepenuhnya bagi pelaksanaan kawalan supaya keseluruhan proses terbabit dibuat dengan lebih ketat.
“Jangan ambil mudah walaupun kita tahu ia (aktiviti keganasan) terkawal di Malaysia. Saya tahu bukan senang buat pemantauan, tetapi PDRM ada kemampuan dan kita lihat ia sesuai dengan undang-undang POTA yang digubal ketika saya sebagai Menteri Dalam Negeri dahulu.
“ASEANAPOL yang wujud di Kuala Lumpur sejak saya menjawat jawatan sama sebelum ini juga pastinya akan lebih melipatgandakan pemantauan dan program survelan mereka bagi mengatasi isu sama,” katanya pada sidang media di sini, semalam.