Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Keratan Akhbar

KERATAN AKHBAR PILIHAN: HATI-HATI MELALUI 554 KAWASAN 'MAUT' - TIMBALAN KPN


Bangi, 27 Mac 2025 - Orang ramai yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri perlu berhati-hati semasa memandu terutama ketika melalui 554 lokasi ‘maut' yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 432 lokasi panas (hotspot) dan 122 titik hitam (blackspot) di lebuh raya dan Jalan Persekutuan di seluruh negara dikenal pasti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Selamat 24 sempena Hari Raya Aidilfitri, bermula 29 Mac hingga 3 April ini.

Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seramai 6,957 anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik di seluruh negara dikerahkan bagi kawalan trafik sempena lebaran.

Katanya, ia membabitkan seramai 871 pegawai kanan dan 6,086 anggota manakala sebanyak 25 lokasi panas dan 46 lokasi hitam dikenal pasti di lebuh raya utama.

“Selain itu, sebanyak 407 lokasi panas 76 lokasi hitam dikenal pasti seluruh negara dan daerah melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain jalan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Kerjasama Strategik Aktiviti Pendidikan dan Penyelidikan Dalam Bidang Sains Forensik di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia Bilangan 1 bagi tahun 2025 di sini, semalam.

Dato' Sri Ayob Khan berkata, pemantauan akan dibuat secara berterusan bagi memberi bantuan kepada pengguna jalan raya, sekiranya menghadapi masalah kerosakan kenderaan atau kecemasan.

Jelasnya, tindakan penguatkuasaan juga diambil terhadap pengguna jalan raya yang ingkar melakukan kesalahan yang menjurus kepada kemalangan.

“PDRM menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang lalu lintas dan bersabar ketika memandu bagi menjamin keselamatan jalan raya.

“Pengguna jalan raya juga perlu memastikan kenderaan digunakan berada pada tahap yang terbaik dengan melakukan pemeriksaan fizikal terhadap kenderaan, selain pemandu juga dinasihatkan mendapatkan tidur yang cukup sebelum perjalanan,” katanya.

Bacaan lanjut seperti dalam akhbar terbitan Berita Harian.

May be an image of 4 people and text


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS