Bangi, 27 Mac 2025 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan, wujud ratusan bahan kimia baharu yang digunakan dalam penghasilan dadah di negara ini, didapati belum tersenarai dalam jadual bahan terlarang mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.
Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata senarai 110 bahan kimia dalam jadual bahan terlarang mengikut akta terbabit, kini perlu ditambah berikutan banyak kandungan baharu dikesan dalam penghasilan dadah terkini.
“PDRM berharap
Jabatan Kimia akan segera menyenaraikan bahan kimia berbahaya baharu itu dalam jadual Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 perlu dibuat penambahan dengan memasukkan jenis bahan kimia baharu bagi membolehkan pertuduhan dapat dilakukan di mahkamah.
“(Tanpa penyenaraian) Kalau kita kesan bahan baharu yang tidak tersenarai, maka kita akan alami kesukaran untuk mensabitkan suspek dengan kesalahan.
“Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) sudah mengenal pasti lebih 1,000 bahan baharu. Sebab itu perlu dibuat pindaan tambahan senarai dalam jadual akta berkenaan.
“Insya-Allah, bagi tambahan senarai bahan kimia ke dalam akta, ia tidak memakan masa yang lama,” katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Kerjasama Strategik Aktiviti Pendidikan dan Penyelidikan Dalam Bidang Sains Forensik di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bilangan 1 bagi tahun 2025, di sini semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Dato' Dr. Wan Kamal Mujani dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Dato' Dr. Mohammad Kassim.
Kesan melalui TIMS-TOF Dato' Sri Ayob Khan berkata, bahan kimia baharu yang digunakan dalam penghasilan dadah terkini, mampu dikesan dengan penggunaan mesin Trapped lon Mobility Spectrometry Time-of-Flight Mass Spectrometry (TIMS-TOF) berdasarkan analisis terhadap sampel tertentu, termasuk urin dan air kumbahan.
Beliau berkata, mesin terbabit dikendalikan Jabatan Sains Kesihatan, UKM melalui kerjasama pendidikan dan penyelidikan sains forensik bersama PDRM dan UKM.
“Penggunaan mesin ini akan membantu kami dalam mengesan dan mengenal pasti pelbagai bahan larangan terbabit dengan lebih pantas serta berkesan,” katanya.