Kota Bharu, 12 April 2025 - Penggunaan telefon pintar tanpa batasan dan pendedahan kepada bahan lucah di media sosial antara faktor utama membawa kepada kes rogol dan sumbang mahram dalam kalangan remaja bawah umur yang semakin membimbangkan di Kelantan.
Pendedahan kanak-kanak kepada bahan pornografi menyebabkan timbul keghairahan untuk mencuba termasuk melakukan hubungan seks termasuk dengan sesiapa sahaja sama ada sepupu atau bapa saudara.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan
Universiti Malaysia Kelantan, Dr. Mohd Nawi Ismail berkata, trend di mana remaja atau kanak-kanak perempuan yang mencari lelaki untuk mengadakan hubungan seks atau peningkatan jenayah rogol dan sumbang mahram sangat mengejutkan dan membimbangkan.
“Ibu bapa perlu memainkan peranan utama kerana mereka dianggap lapisan pertama kepada anak-anak. Ibu bapa bukan hanya menganggap penyediaan makan minum dan kelengkapan itu sudah memadai, sebaliknya perlu mengambil tahu kesemua perkara berkaitan anaknya termasuk pergaulan, pergerakan dan rakan-rakannya.
“Selain itu ia berkaitan penggunaan telefon pintar. Sekarang ini budak baru berusia seawal lima tahun sudah didedahkan dengan telefon pintar sehinggakan mereka tidak boleh berpisah dengan gajet berkenaan," jelasnya.