Tumpat, 7 Mei 2025 - Kelibat beberapa individu di tebing Sungai Mak Neralang, di sini, awal pagi, semalam, membongkar cubaan menyeludup 17,500 kotak rokok masuk ke dalam negara.
Namun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka melarikan diri dengan meninggalkan beberapa bungkusan hitam mengandungi rokok seludup bernilai RM693,000.
Komander
Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, ACP Zulafendy Hassan, berkata, kegiatan itu disedari anggotanya yang melakukan pemantauan di pesisir Sungai Mak Neralang, Kok Keli, di sini, dalam Op Taring Landai, jam 1.30 pagi.
“Kami mengesan beberapa kelibat manusia dalam keadaan mencurigakan sebelum ke lokasi.
“Sebaik tiba didapati tiada individu berada di lokasi dan kami percaya mereka melarikan diri sebaik menyedari pihak berkuasa. “Pemeriksaan di sekitar kawasan menemui timbunan plastik berwarna hitam yang mengandungi beberapa karton rokok putih yang dilarang pengimportannya.
“Sebanyak 350,000 batang rokok putih yang ditemui dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM693,000,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan
Harian Metro seperti di lampiran.