Jertih, 14 September 2025 - Seramai 135,000 penagih dadah direkodkan di negara ini hingga 30 Jun lepas, kata Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri
Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, jumlah itu sesuatu yang membimbangkan dan kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak sentiasa mengambil langkah serta strategi dalam mengurangkan jumlah penagihan dadah di negara ini secara signifikan.
“Angka 135,000 penagih ini sesuatu yang membimbangkan. Bagi saya, 10 orang pun sudah membimbangkan kerana ia melibatkan kehilangan tenaga manusia. Strategi kita adalah mengurangkan angka ini secara signifikan melalui program pencegahan, pemulihan dan penguatkuasaan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini pada Sabtu.
Menurut Datuk Seri Saifuddin Nasution, menurut rekod daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, AADK dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik, negeri Kelantan merekodkan jumlah penyalahgunaan dadah yang tertinggi diikuti Terengganu, Perlis dan Kedah.
Katanya, lokasi yang bersempadan dengan negara jiran Thailand dikenal pasti sebagai faktor utama keempat-empat negeri berkenaan mempunyai bilangan penagih dadah paling ramai.
Bacaan lanjut menerusi keratan akhbar terbitan
Sinar Harian seperti di lampiran.