Seremban, 22 September 2025 - Sebanyak 250 motosikal diperiksa pegawai dan anggota
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dalam Op Motosikal di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan di sini, malam kelmarin. Operasi tersebut turut mendapat kerjasama
PLUS Malaysia Berhad.
Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, DCP Mohd Rozi Jidin berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 513 saman membabitkan pelbagai kesalahan selain turut menyita 19 motosikal mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, kebanyakan individu yang diperiksa berusia bawah 25 tahun termasuk remaja dan pemeriksaan motosikal mendapati sebahagiannya diubah suai dan tidak menepati ciri keselamatan.
"Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada brek, tiada lampu, tiada nombor pendaftaran dan tiada lesen menandu yang mana ia juga antara punca kemalangan dan penyumbang statistik kematian akibat kemalangan motosikal.
"Alasan ubah suai motosikal yang diberikan mereka ini adalah kerana minat dan mahu mengikut trend, ada kawan-kawan ubah suai kenderaan jadi dia pun ada kenderaan (dan mahu juga buat ubah suai) selain remaja ini (hanya mahu) 'joy ride'," katanya.
Bacaan lanjut menerusi keratan akhbar terbitan
Harian Metro seperti di lampiran.