Ipoh, 11 Oktober 2025 - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas suplemen tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan yang dimuatkan dalam dua lori, dianggarkan bernilai keseluruhan RM1.42 juta.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, SAC Shahrum Hashini dalam kenyataan berkata, rampasan itu dilakukan dalam satu operasi penguatkuasaan produk kosmetik atau suplemen di kawasan rehat dan rawat Sungai Perak arah selatan, kira-kira 46 kilometer dari sini.
Beliau berkata, hasil risikan mendapati produk berkenaan dipercayai dikeluarkan daripada sebuah kilang di Jitra, Kedah untuk diedarkan ke sebuah syarikat di Selangor.
“Tangkapan dan rampasan dijalankan selepas pemeriksaan mendapati produk kosmetik atau suplemen ini tidak memiliki pelekat hologram serta tiada nombor pendaftaran produk Kementerian Kesihatan,” katanya.
SAC Shahrum berkata, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan dan sebanyak 5,000 botol produk suplemen minuman pemutih kulit bernilai RM1.1 juta, 1,008 botol tablet vitamin C bernilai RM100,800 dan dua lori (RM220,000) dirampas.
“Produk kosmetik dan lori dirampas serta diserahkan kepada Penguatkuasa Farmasi Negeri Perak, manakala kedua-dua pemandu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Berita Harian seperti di lampiran.