Kuantan, 27 Oktober 2025 - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula awal bulan depan.
Seramai 217 pegawai dan anggota sedia bertugas membantu memindahkan mangsa banjir dengan menggunakan pelbagai kemudahan logistik membabitkan bot serta pengangkutan darat.
Komander PPM Wilayah Tiga, ACP Zulafendy Hassan berkata, bantuan menyelamat mangsa banjir menjadi tumpuan utama dengan sasaran memberi perkhidmatan terbaik tanpa mengira waktu dan lokasi bencana.
Menurutnya, di pantai timur, pihaknya mengambil tindakan proaktif dari segi latihan dan logistik untuk menghadapi MTL yang dijangka bermula awal bulan depan hingga Mac tahun depan.
“Pelbagai inisiatif termasuk latihan di lapangan telah selesai diadakan oleh kontinjen Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi memastikan semua anggota termasuk logistik berada pada tahap kesiapsiagaan sepenuhnya.
“Pasukan Polis Marin di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam antara barisan hadapan dalam operasi banjir.
“Kita memiliki anggota yang mahir dalam aspek menyelamat di air, penggunaan bot, peralatan logistik serta komunikasi kecemasan,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Harian Metro seperti di lampiran.