Tawau, 25 Januari 2026 - Cubaan dua lelaki untuk menyamar sebagai anggota polis dan memperdaya orang awam gagal apabila mereka dicekup dalam rondaan di hadapan sebuah bank di kawasan Fajar, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, sepasukan anggota dari Balai Polis (BP) Tawau yang sedang menjalankan tugas rutin mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya untuk pemeriksaan lanjut.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menemukan vest pantylilan warna hijau bertulis 'PDRM' serta sehelai topi berlambang corak celoreng.
Menurutnya, kelengkapan itu dipercayai digunakan bagi meyakinkan orang awam bahawa mereka adalah anggota keselamatan.
"Polis turut menemui sebuah beg pinggang yang mengandungi paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Syabu seberat kira-kira 0.10 gram.
"Kedua-dua suspek warga tempatan masing-masing berusia 32 dan 43 tahun bersama barang rampasan dibawa ke BP Tawau untuk siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan, di sini, malam kelmarin.
Bacaan lanjut dalam keratan akhbar terbitan Harian Metro seperti di lampiran.