Kuala Lumpur, 24 Mac 2026 - Tatkala kebanyakan rakyat Malaysia sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pula reda menyambut lebaran di pos kawalan demi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.
Koperal Hafizuddin Jawat, 39 tahun, berkata, Aidilfitri tahun ini sekali lagi diraikan jauh dari keluarga apabila dia ditugaskan di Pos Bukit Tinjau PGA, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bermula 1 Mac hingga 1 April depan.
“Aidilfitri ini tahun ketiga saya tidak pulang beraya, memang sambut di sini sahaja bersama rakan setugas,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurutnya, walaupun berjauhan, dia tetap mengubat rindu terhadap isteri dan dua anaknya melalui panggilan video pada pagi Syawal.
“Memang rindu, tapi ini sebahagian daripada pengorbanan saya sebagai anggota polis,” jelasnya.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Sinar Harian seperti di lampiran.