Johor Bharu, 3 April 2026 - Polis Johor menahan tujuh ahli sindiket dadah termasuk dua warga asing serta merampas dadah bernilai RM1.24 juta menerusi dua serbuan pada 30 hingga 31 Mac lalu.
Ketua Polis Johor, CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mereka yang ditahan berusia antara 31 hingga 60 tahun termasuk seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang menyelaras kumpulan berkenaan dengan bertindak mengatur semua aktiviti pengedaran dadah.
Beliau berkata, enam ahli sindiket yang ditahan bertindak sebagai ahli sindiket dengan mencari pelanggan serta menjalankan aktiviti pembungkusan dadah.
Menurutnya, sindiket berkenaan aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar bandar raya ini sejak Oktober tahun lalu terutama di pusat hiburan serta memiliki pelanggan tetap.
Katanya, serbuan pertama dijalankan di sebuah rumah di kawasan Taman Megah Ria, Seri Alam, di sini.
Menurutnya, hasil serbuan, polis menahan tiga lelaki tempatan, seorang perempuan tempatan dan seorang lelaki warga Singapura.
Katanya, polis merampas dadah termasuk sembilan bekas disyaki dadah jenis serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 7,800 gram bernilai RM1.17 juta, 40 botol dadah disyaki jenis cecair MDMA seberat 2,400 mililiter bernilai RM1,400.
"Polis turut merampas 44 peket disyaki dadah jenis serbuk Ekstasi seberat 1,098 gram bernilai RM13,200, 80 biji disyaki dadah jenis pil Erimin 5 anggaran berat 22 gram bernilai RM1,600 dan dua paket disyaki dadah jenis Syabu seberat 26 gram bernilai RM1,300.00," katanya.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Harian Metro seperti di lampiran.