Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

POLIS REKOD KETERANGAN LELAKI UGUT PUKUL WARTAWAN

George Town, 30 Jan - Polis telah merekodkan keterangan lelaki yang mengugut untuk memukul seorang wartawan wanita akhbar berbahasa Tamil semalam.

Wartawan itu pada Rabu membuat laporan apabila suspek turut mengugut akan mengambil tindakan mahkamah selepas tersiar berita di akhbar berkenaan mengenai penahanan 33 lelaki yang disyaki cuba menimbulkan kekacauan sempena Thaipusam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata suspek berusia 47
tahun itu datang sendiri ke balai polis selepas diminta berbuat demikian petang semalam.

"Lelaki yang tinggal di Sungai Dua, Butterworth itu tiada rekod jenayah dan telah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 9 malam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata peniaga barangan lusuh itu mengaku tidak berpuas hati dengan kandungan berita berkenaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.    

Sementara itu, wartawan berusia 27 tahun berkenaan ketika dihubungi berkata beliau tidak mengenali suspek dan menerima ugutan dari lelaki terbabit menerusi panggilan telefon.
- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS