Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

DUA GENG CURI MOTOSIKAL TUMPAS, TAHAN ENAM LELAKI

Kepala Batas, 20 Mac - Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) berjaya menumpaskan dua geng curi motosikal dan merampas lapan buah motosikal serta pelbagai komponen kenderaan itu bernilai RM70,000 dalam serbuan pada Rabu dan Khamis.

Ketua Polis Daerah SPU ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata dalam Ops Lejang itu pihaknya berjaya menahan enam lelaki berusia 16 hingga 39 tahun itu iaitu anggota dua geng curi motosikal berkenaan di Sungai Dua dan Ujung Batu, Butterworth.

"Dalam Ops Lejang pada pukul 12.30 tengah malam tadi, anggota polis mengekori sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki sebelum menahannya di persimpangan lampu isyarat dan pemeriksaan kami menemui pelbagai peralatan untuk kegiatan mencuri kenderaan.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati motosikal yang dinaiki lelaki berusia 19 tahun itu adalah kenderaan curi dan menggunakan nombor pendaftaraan palsu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Bukit Minyak, dekat sini dan menahan tiga lagi lelaki serta merampas tiga buah motosikal curi termasuk pelbagai komponen kenderaan berkenan yang telah dileraikan.

Abdul Rahman berkata seorang daripada yang ditahan itu juga memang dikehendaki polis berkaitan kes pecah rumah dan curi kenderaan di Machang Bubuk.

Sementara itu, dalam serbuan kedua beliau berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan pasukan Ops Lejang menyerbu sebuah dewan orang ramai yang telah tidak digunakan di Ujung Batu pada pukul 3.20 petang Rabu dan menahan dua lelaki.

"Hasil pemeriksaan polis menemui empat buah motosikal curi dan pelbagai komponen kenderaan itu yang telah dileraikan serta rangka-rangka motosikal yang disembunyikan dalam dewan berkenaan," katanya.

Katanya dua lelaki mempunyai rekod jenayah lampau yang turut positif dadah itu dipercayai terlibat dengan kegiatan curi motosikal sejak tiga tahun lepas dan pernah ditahan beberapa kali sebelum ini.

"Semua enam lelaki berkenaan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes-kes tersebut," katanya. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS