Kuala Terengganu, 28 April - Kaki judi dan penganjur pusat perjudian di Terengganu kini menggunakan iPad atau telefon bimbit untuk aktiviti perjudian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata aktiviti sedemikian yang semakin menular, dikesan ekoran penahanan tiga lelaki berusia antara 28 hingga 57 tahun di sebuah kedai makan di Bandar Chukai, Kemaman pada Sabtu.
Menurutnya dalam serbuan kira-kira pukul 10.45 malam itu, ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai tukang gunting dan tukang rumah itu didapati sedang leka berjudi dengan menggunakan telefon bimbit masing-masing.
"Hasil pemeriksaaan lanjut ke atas telefon bimbit mereka, kita dapati terdapat pelbagai aplikasi yang berunsurkan perjudian telah dimuat-turun ke dalam telefon tersebut bagi memudahkan urusan perjudian.
"Kita turut merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama, 'power bank' (untuk membekal tenaga bateri), wang tunai bernilai RM345 serta resit-resit berkaitan perjudian," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Wan Abdul Aziz berkata, perjudian secara online ini bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.
Mereka menggunakan aplikasi tertentu yang dilihat berjaya mengaburi mata pihak berkuasa yang jarang memfokuskan perjudian secara online.
Wan Abdul Aziz berkata ketiga-tiga suspek telah membayar sejumlah wang untuk mendapatkan nombor pin sebelum dibenarkan mengakses laman-laman web yang berkaitan perjudian itu.
"Hasil keterangan juga kita dapati, ketiga-tiga mereka yang berasal dari Kemaman itu telah melabur di antara RM1,300 hingga RM2,000 untuk tujuan berjudi itu," katanya. - BERNAMA