Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

LIMA KERTAS SIASATAN DIBUKA DALAM PRK ROMPIN SETAKAT INI - POLIS

Rompin, 28 April - Sebanyak 31 laporan polis telah dibuat sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin yang bermula sejak 22 April hingga semalam.

Ketua Pusat Media PRK Rompin Supt Abdul Aziz Mahmud berkata daripada jumlah itu sebanyak lima kertas siasatan telah dibuka iaitu tiga kes jenayah dan dua kes jenayah narkotik.

"Satu kertas kes jenayah yang dibuka melibatkan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, dua kes membabitkan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat manakala dua kes lagi disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, katanya anggota penguat kuasa kempen PRK Rompin juga telah bertindak menurun dan merampas empat kain rentang yang dipasang di sekitar daerah ini kerana tidak mempunyai logo parti politik.

Abdul Aziz berkata, laporan polis telah dibuat oleh dua anggota penguat kuasa kempen pilihan raya itu mengenai tindakan tersebut semalam.

Menurutnya, rampasan pertama dibuat di kawasan Felda Selendang, Kuala Rompin yang melibatkan satu kain rentang, tiga lagi kain rentang dirampas di kawasan simpang Sungai Meranti, Tanjung Gemok.

Katanya, tindakan itu adalah berlandaskan kesalahan di bawah Subseksyen 4A(1) Kesalahan Pilihan Raya 1954.

PRK Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Datuk Hasan Arifin dan calon PAS, Nazri Ahmad, bagi mengisi kekosongan kerusi itu berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4 April lepas.

Pengundian awal akan dijalankan pada 30 April ini melibatkan 545 orang pengundi sementara pengundian sepenuhnya pada 5 Mei ini membabitkan pengundi berdaftar sebanyak 53,294 orang.

Daripada jumlah itu, 19,561 orang merupakan pengundi di DUN Bukit Ibam, DUN Muadzam Shah (17,394 pengundi) dan DUN Tioman (16,339 pengundi).- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS