Kuala Terengganu, 25 Feb - Enam termasuk seorang wanita ditahan polis kerana terlibat dalam penipuan jual beli tanah membabitkan kerugian kira-kira RM1.8 juta di negeri ini.
Ketua Polis Terengganu, Dato' Rosli Ab Rahman berkata kesemua mereka yang berusia antara 40 dan 65 tahun itu ditahan menerusi Op Pekaka yang dijalankan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.
Katanya, kesemua ahli sindiket itu ditahan di sekitar Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur sejak awal Januari hingga Februari tahun ini.
"Menerusi tangkapan itu kita dapati mereka terlibat dalam 18 kes penipuan jual beli tanah yang melibatkan kerugian mencecah RM 1.8 juta.
"Sebanyak 15 pertuduhan telah dilakukan di Kuala Terengganu, Setiu, Dungun dan Kemaman pada minggu lepas," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya sedang memburu dua hingga tiga lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan itu, sekali gus dapat menyelesaikan kesemua kes yang dilaporkan di negeri ini.
Katanya, daripada tangkapan itu pihaknya turut merampas dan menyita wang tunai, tiga kenderaan mewah dan akaun bank yang semuanya bernilai kira-kira RM152,000 daripada suspek yang berasal dari Johor, Negeri Sembilan dan Sarawak.
"Hasil siasatan itu turut membuka satu kertas siasatan mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001," katanya.
Menurutnya, modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah menghubungi dan meyakinkan mangsa sebelum mengatur perjumpaan serta perbincangan lanjut untuk urusan pembelian tanah.
Bagaimanapun, setelah urusan pembayaran dibuat mangsa gagal menghubungi ejen berkenaan sebelum mendapati tanah yang ditawarkan tidak wujud dan geran yang dikeluarkan adalah palsu.
Jelasnya sindiket ini dipercayai menggunakan gelaran Datuk dan Haji bagi menjerat mangsa yang kebanyakannya penduduk kampung, pesara serta orang yang berpendidikan.
Dalam pada itu katanya, sebanyak 36 kes penipuan jual beli tanah melibatkan kerugian mencecah RM3.4 juta telah dilaporkan di seluruh negara sejak 2007 sehingga tahun ini dan daripada itu 18 kes dilaporkan di Terengganu.
"Kes di Terengganu mula dikesan sejak lima tahun lalu dan ada mangsa yang telah melakukan pembayaran daripada RM3,000 hingga RM450,00 bagi membeli tanah yang ditawarkan itu," katanya.
Rosli berkata, pihaknya percaya kesemua suspek yang ditahan itu turut terlibat dalam kes penipuan di beberapa negeri lain.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran tanah yang murah dan memberi pulangan lumayan daripada individu yang tidak dikenali.
- BERNAMA