Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

BUNYI TEMBAKAN, LETUPAN TIDAK JEJAS TUGAS PASUKAN FORENSIK PDRM

Kuala Lumpur, 24 Mac - Terperangkap di zon perang di Ukraine adalah detik cemas dihadapi Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika menyiasat tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di negara itu.

Pasukan diketuai Komandernya, SAC Hussein Omar Khan terpaksa mempertaruhkan nyawa menjalankan siasatan terhadap pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014, biarpun kawasan itu masih bergolak dengan peperangan antara pemberontak dan tentera kerajaan.

Biarpun bunyi tembakan senjata api bertalu-talu dan kuatnya ledakan letupan di sekitar daerah Donetsk, Hussein berkata tugas pasukan itu mengumpul bahan bukti dan mengambil mayat mangsa pesawat perlu diteruskan demi mencari kebenaran.

"Sebaik tiba di ladang gandum di mana lokasi pesawat itu jatuh, perasaan saya bercampur baur, sedih, takut dan kecewa.

"Namun atas amanah dan kepercayaan diberikan, kami ketepikan perasaan agar dapat memberi tumpuan dalam melakukan tugasan kerana misi kami adalah untuk membawa pulang jasad dan apa sahaja barang milik rakyat Malaysia" katanya kepada Bernama dalam wawancara baru-baru ini sempena Hari Polis ke-209.

Katanya kehadiran pasukan itu sentiasa dikawal pihak pemberontak yang diketuai Alexender Borodai.

Kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat MH17 terbunuh apabila kapal terbang itu ditembak dengan peluru berpandu di timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Hussein berkata penglibatannya dalam siasatan nahas pesawat itu adalah antara pengalaman paling mencabar dan berharga selepas menyertai PDRM sejak 21 tahun lalu.

Bapa kepada dua anak itu berkata misi MH17 berbeza daripada kes kendaliannya yang lain kerana tidak ada jaminan pasukan berkenaan akan kembali ke tanah air dalam keadaan selamat dan ia tidak sama seperti drama siasatan televisyen Crime Scene Investigation (CSI).

"Dalam misi ini, kami belum tentu dapat pulang dengan selamat kerana terdedah dengan ancaman oleh puak pemberontak di lokasi itu.

"Setiap tindak-tanduk kami diperhati dan sedikit kesilapan boleh
mengakibatkan kehilangan nyawa. Lokasi kejadian juga hampir dengan kawasan perang iaitu kira-kira satu kilometer sahaja," katanya yang berasal dari Perak.

Bekas graduan Universiti Malaya berusia 45 tahun itu berkata pihaknya hanya diberi masa kira-kira dua jam sahaja bagi melakukan pencarian di lokasi kejadian seluas sembilan kilometer.

Lebih mengejutkan ketika pencarian dilakukan, pasukannya menjumpai kira-kira 2,800 serpihan tulang manusia milik mangsa nahas pesawat itu.

Hussein dan pasukannya yang dihantar ke lokasi kejadian sebanyak tiga kali termasuk yang terakhir pada April 2015 turut menjelaskan kesan tragedi itu masih ada di situ.

"Walaupun kejadian sudah berlaku hampir setahun (tugasan terakhir pada April 2015), masih terdapat bau minyak di kawasan itu...malah kami turut menjumpai jari, kaki dan kasut mangsa," katanya.

Menceritakan pengalaman ketika mengenal pasti identiti mangsa pesawat itu, beliau berkata proses berkenaan mengambil masa yang sangat panjang iaitu sehingga lima hari.

Katanya mereka menerima kira-kira 182 beg hitam yang dikatakan mempunyai mayat yang disimpan dalam empat gerabak kereta api di Kharkiv iaitu bandar kedua terbesar di negara itu yang terletak di timur Ukraine.

Daripada 182 beg hitam yang diterima, katanya, 150 kandungan beg itu adalah mayat selebihnya hanya beg kosong dan barang-barang milik mangsa.

"Proses pertama yang dilakukan ialah meletakkan nombor sebagai identifikasi beg bagi memudahkan proses pengecaman sebelum mayat mangsa dibawa ke Amsterdam untuk tindakan lanjut," katanya sambil menyifatkan pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam kepadanya. -BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS