Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

GENG MAHDI BALAKONG TUMPAS, 15 KES PECAH RUMAH SELESAI

Sepang, 24 Jun- Polis Sepang menumpaskan kumpulan dikenali Geng Mahdi Balakong yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah merentasi daerah selepas memberkas tiga lelaki di Cheras dan Balakong, dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata suspek warga Indonesia berusia antara 33 dan 34 tahun itu ditangkap menerusi Ops Pintu Seroja selepas polis menerima laporan berhubung kegiatan kumpulan itu pada April lepas.

"Selepas membuat risikan, polis akhirnya melakukan beberapa serbuan rumah bermula pada awal pagi Rabu hingga semalam yang membawa kepada penahanan tiga suspek berkenaan dan merampas dua kereta jenis Proton Perdana dan Honda City serta pelbagai jenis barangan curi.

"Siasatan mendapati kereta tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dicuri kumpulan itu bagi digunakan semasa melakukan jenayah pecah rumah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut dirampas termasuk empat televisyen LED bersaiz 48 hingga 55 inci, 37 jam tangan pelbagai jenama, 15 unit telefon bimbit, empat komputer riba, walkie talkie, kamera dan alatan mengumpil dipercayai diguna untuk kegiatan jenayah mereka.

Abdul Aziz berkata modus operandi kumpulan yang bergiat aktif sejak awal tahun ini ialah memecah masuk rumah yang tidak berpenghuni pada waktu siang serta mencuri televisyen LCD atau LED pada setiap rumah yang dimasuki.

Selain menetapkan televisyen jenis itu, pergerakan kumpulan ini juga mempunyai cara tersendiri apabila hanya memilih hari Rabu untuk melakukan aktiviti mereka di daerah Sepang, katanya.

Selain Sepang, kumpulan yang didalangi tiga lelaki yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tidak bekerja itu turut aktif memecah masuk rumah di kawasan Seremban, Nilai, Senawang, Banting, Kajang serta Subang Jaya, katanya.

Abdul Aziz berkata pihaknya masih memburu seorang lagi rakan subahat kepada suspek yang ditahan dan risikan mendapati lelaki berusia 33 tahun itu telah balik ke Indonesia untuk menyambut Aidilfitri melalui 'lorong tikus' minggu lalu.

"Dengan tertangkapnya geng ini, polis percaya telah menyelesaikan 15 kes pecah rumah dan curi kenderaan di daerah terbabit," katanya dan menambah nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM120,000.- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS