Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

PERSIDANGAN ASEANAPOL KE-36 MEMBUKA TIRAI

PERSIDANGAN ASEANAPOL KE-36 MEMBUKA TIRAI

Kuala Lumpur, 22 Julai - Persidangan ASEANAPOL atau Persidangan Gabungan Polis-Polis Rantau Asia Tenggara kali ke-36 di Hotel Marriot Putrajaya membuka tirai persidangan hari ini dengan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku tuan rumah ASEANAPOL pada tahun ini telah diberi kepercayaan penuh untuk menganjurkan persidangan yang penuh berprestij yang turut dianggotai oleh Ketua-ketua polis dari negara Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei, Vietnam, Laos, Myanmar dan Cambodia.

Sebanyak sembilan delegasi rakan dialog ASEANAPOL turut hadir pada kali ini dari Australia, Republik Rakyat China, Jepun, Republik Korea Selatan, New Zealand, Rusia, Turki, Sekretariat ASEAN dan polis antarabangsa (INTERPOL).

Selain itu, seramai empat delegasi pemerhati dari negara Timor Leste, United Kingdom, polis Kesatuan Eropah (EUROPOL) dan International Committee Regional Of The Red Cross (ICRC) turut hadir.

Persidangan yang berlangsung mulai hari ini hingga 29 Julai didahului dengan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ASEANAPOL (EXCOM) ke-7 yang dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif Sekretariat ASEANAPOL, Brigadier General Yohanes Agus Mulyono dan Forum Perbincangan Delegasi Ketua-ketua Polis negara ASEAN.

Persidangan ASEANAPOL yang berlangsung pada kali ini akan membincangkan pelbagai agenda membabitkan isu keselamatan serantau seperti penyeludupan dadah dan manusia, ancaman pengganas, keselamatan hidupan liar, jenayah komersil yang melibatkan penipuan seperti kad kredit, jenayah siber, jenayah pemalsuan dan jenayah persempadanan antarabangsa.

Di dalam mesyuarat itu juga turut dibincangkan mengenai perkembangan projek "Electronic ASEANAPOL Database System" (e-ADS), perjanjian bersama pertukaran latihan untuk para pegawai polis negara ASEAN serta "ASEAN Police Forensics Science Network" (APFSN).

Pada sebelah malam pula, YDH Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar selaku pengerusi ASENAPOL dijadual menghoskan majlis makan malam yang penuh adat istiadat kepolisan atau lebih dikenali sebagai "Mess Night" bagi mengalu-alukan pemimpin serta perwakilan polis ASEAN ke persidangan kali ini.

Persidangan pada kali ini yang bertemakan "A Greater Nexus For A Safer Community" disusuli dengan mesyuarat-mesyuarat serta forum-forum untuk bertukar pandangan oleh ahli persidangan berkaitan keselamatan khususnya di rantau ASEAN.

Seluruh warga PDRM mengucapkan SELAMAT DATANG dan SELAMAT BERSIDANG kepada semua Ketua Polis Negara ASEAN yang hadir pada kali ini.


YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyampaikan ucapan perasmian.


YDH Ketua Polis negara, Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar menyampaikan ucapan.



Sekitar acara perasmian berlangsung.


YDH Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar selaku pengerusi ASENAPOL  menyampaikan cenderahati kepada YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.



Bergambar kenangan.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS