Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

PERINTAH BERKURUNG DI ESSZONE DILANJUT HINGGA 13 OKTOBER-PESURUHJAYA POLIS SABAH

Kota Kinabalu, 28 September 2018 — Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir 6 petang ini dilanjutkan hingga 13 Oktober.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, dengan pelanjutan itu, mereka yang tinggal di kawasan berkenaan diminta berada dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan itu dari 6 petang hingga 6 pagi sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata perintah berkurung itu yang meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran adalah untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta rakyat yang berada di kawasan daratan Esszone.

“Berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan," katanya.

Omar berkata, perintah berkurung itu juga bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.

"Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di daerah Esszone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung," katanya.

-BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS